Filem biografi mengenai kisah hidup Datuk Lee Chong Wei dijangka mencatat rekod antarabangsa dengan tontonan seramai 30,000 orang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tayangan galanya 9 Mac nanti.
Penerbit bersama filem Lee Chong Wei: Rise Of The Legend itu, Josiah Chieng berkata, pihaknya berharap jumlah tontotan bukan saja mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records malah melakar sejarah di Asia Tenggara.
Untuk itu, persediaan rapi dilakukan antaranya memasang sebuah skrin LED gergasi di stadium berkenaan.
“Pada awal kami memang tidak menjangkakan untuk melakar sejarah dengan kehadiran peminat yang begitu ramai, tetapi sudah alang-alang mencari lokasi yang besar baru timbul idea itu.
“Setakat ini dalam perancangan, kami akan memasang sebuah skrin LED setinggi 17 kaki di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti.
"Hasrat kami memang ingin memasang skrin yang lebih tinggi, tetapi ia perlu melepasi standard keselamatan terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysiakini.
Josiah berkata dia positif untuk mencapai sasaran berkenaan kerana satu per lima tiket yang diperuntukkan pada malam itu sudah ditempah oleh peminat dari China.
Comments
Post a Comment